Tiga tahun yang lalu, masih segar lagi dalam ingatanku tika aku mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi. Insan yang paling bahagia waktu itu adalah kedua orang tuaku. Betapa gembiranya mereka kerana amanah titipan Allah kepada mereka berjaya mendapat pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi. Syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi, doa mereka kini telah dimakbulkan. Abah menghantarku dengan seribu pesan agar tidak terpesong dari landasan kehidupan yang sebenar.
Bemulalah kehidupan aku sebagai seorang mahasiswa yang tidak boleh di pisahkan dengan dunia huruf dan simbol-simbol dalam pendidikan. Duniaku sudah berbeza dengan dunia persekolahan dahulu, aku di tempatkan di asrama yang terdiri dari berbagai bangsa dan seribu macam kerenah. Hidup aku juga mula berubah , aku perlu lebih berdikari dan lebih berfikiran terbuka dalam mengorak langkah dalam dunia kampus.
Satu petang, awan kelabu menutupi biru langit, termenung aku mengenangkan nasib keluarga di kampung, rindu mula menyelubung jiwaku, wajah-wajah kesayangan silih berganti menerjah benak fikiranku. “Eh, Imtiyaz ape yang kau menungkan tu, teringatkan kumbang ke?” Tiba-tiba bahuku di cuit. “Tak adalah, kau ni ada-ada je lah. “Kau nak kemana ni Safi?” melawa macam mak datin je ni. Aku membalas usikan Safi, ‘roomateku’ “ Mm, aku nak keluar kejap, bosanle asyik memerap dekat bilik je.” Dunia dia jauh berbeza dengan duniaku , dia berasal dari keluarga yang mewah, tidak pernah kenal erti kesusahan. Namun begitu, dia tidak seperti sesetengah manusia yang angkuh dan sombong dengan harta kekayaan. Aku kagum dengannya.
Seperti ‘cikaro’ yang lain aku juga tidak terlepas dari perasaan ingin di sayangi, dicintai, dan di jadikan ratu dalam hidup insan yang bernama lelaki, namun aku sedar pelajaran adalah segala-galanya untuk aku, untuk mengubah nasib keluargaku di kampung. Aku benamkan perasaan itu jauh di lubuk hatiku. Aku melangkah dengan satu niat untuk membawa pulang kejayaan sebagai hadiah kepada jasa-jasa orang tuaku yang membesarkanku.
Dalam keramaian manusia, pada malam itu, membuatkan aku berasa amat kerdil, ibarat semut di tengah-tengah kawanan gajah. Hati ku membisikkan seribu persoalan, beginikah gaya hidup manusia yang boleh di klasifikasikan sebagai golongan atasan? Entah mengapa hatiku tergerak untuk mengikut Safi ke majlis makan malam di rumahnya. Tiba-tiba hatiku membisikkan kekesalan. Maklumlah tidak pernah seumur hidupku menghadirkan diri ke majlis yang serba mewah seperti itu. Ketika itu jugalah kornea mata aku melihat kehidupan golongan ini yang tanpa segan silunya, berpeluk, bercium di hadapan khalayak ramai. Peliknya tidak ada pula orang yang mengata atau melarang perbuatan tersebut. Jika di kampunglah sudah tentu dijaja ke sana ke mari perbuatan tersebut. Lagak penyampainya sudah tentu seperti pemberita yang melaporkan hal-hal dunia atau seperti murai yang tercabut ekornya.
Lamunan aku tiba-tiba terhenti, apabila Safi mendekatiku. “ Tiyaz, ni sepupu aku, Farid. Dia baru saja habis belajar dalam bidang kejuruteraan di Australia.” Bersungguh benar Safi memperkenalkan sepupunya kepada aku. “ Farid ,ni Imtiyaz rakan sebilikku.’’ Farid menghulurkan tangan salam perkenalan. “ Selamat berkenalan Imtiyaz, semoga seronok dengan majlis malam ini.” Aku teragak untuk menyambut salam tersebut , aku hanya menjawab “ selamat berkenalan.” Mungkin sikap aku kurang ajar, tetapi aku tidak biasa dengan situasi seperti itu.
Beberapa bulan berlalu, aku masih dengan dunia aku yang sibuk dengan pelajaranku, tanpa memikirkan untuk berhibur. Pada suatu malam, aku mendapat mesej daripada Farid, alangkah terkejutnya aku, seolah-olah terkena kejutan elektrik yang maha dasyat. Melalui mesejnya, dia menjemput aku untuk keluar makan malam bersamanya. Serebrum aku mula berfungsi mencari helah untuk menolak pelawaan tersebut. Namun ternyata lelaki ini tidak berputus asa, dia terus dengan usahanya untuk mengajak aku keluar.
Sekeras-keras hati wanitaku ini, lembut juga dengan kata-kata manis insan yang bernama lelaki. Akhirnya aku keluar juga bersama lelaki yang aku tidak pernah kenal hati budinya. Sejak itulah kami sering berkirim mesej, lama-kelamaan aku lena di ulik oleh perasaan cinta dan sayang terhadapnya. Dia adalah lelaki pertama yang mencuri hati aku. Bicara manis yang sering diperdengarkan menggoncang kalbuku, membutakan mata hatiku. Di saat ini hanya dia insan yang bertahta di hati.
Masa terus berlari meninggalkan aku, sudah hampir tiga bulan aku menjalinkan hubungan hati dengan jejaka yang bernama Farid. Pada suatu malam, di kala bulan purnama begitu indah menerangi alam, aku dan Farid keluar makan malam bersama. Tanpa aku sedari, jam sudah pukul 12.00 malam. Hatiku mula tidak keruan kerana sudah pasti aku tidak dapat masuk ke asrama pada waktu sebegini. Farid mempelawa aku untuk tumpang bermalam di rumahnya. Jiwa aku mula tidak tenteram, namun aku terpaksa mengikutnya, dan jauh di sudut hati, aku yakin dia benar-benar ikhlas. Aku percaya pada dia, kerana bagi aku dia adalah seorang lelaki yang bertanggungjawab.
“ Kenapa kau tak pulang malam tadi?” Safi bertanya dengan wajah yang penuh persoalan. Lidah aku kelu, aku tidak mampu untuk berkata-kata. Aku terus merebahkan diri diatas katil, ku mencapai bantal lalu menutup mukaku. Safi kehairanan dengan sikap aku, dia menghampiriku, “ Tiyaz, kenapa ni, kau tak sihat ke? Ceritakanlah pada aku.” Safi mengusap belakangku, seperti seorang kakak yang sedang memujuk adiknya. Bibirku tidak mampu untuk berkata-kata, aku hanya mendiamkan diri.
“ Tiyaz, ada surat untuk kau, aku ambil dekat pejabat tadi, kau ok tak ni? Seminggu ni aku tengok kau lesu je, dengan aku pun tak nak bercakap.”sapa Safi pada suatu petang.“ Aku ok je, mungkin aku penat sikit, banyak tugasan yang perlu disiapkan, kau tak payahlah risau.” Aku cuba untuk menyembunyikan gelodak hatiku, aku tidak mampu untuk menceritakannya kepada Safi.
Selesai solat maghrib, aku mencapai sepucuk surat yang terselit di celahan timbunan buku rujukan aku. Aku membukanya dengan perlahan, air mataku bercucuran bak air hujan yang membasahi bumi, aku tidak mampu menahan sebak , ketika bait-bait isi surat itu di baca, sungguh kejam lelaki itu.
Tiyaz,
Maafkan abang, abang tidak terniat untuk melukakan hati Tiyaz,
abang juga tidak terniat untuk buat Tiyaz macam ni, abang sayang
Tiyaz, tapi cita-cita abang lebih penting. Abang akan berlepas ke
Australia pada malam ini, abang telah mendapat tawaran bekerja
disana. Abang akan menetap di sana untuk beberapa tahun.
Abang harap Tiyaz dapat lupakan abang, dan Tiyaz dapat lupakan
apa yang terjadi antara kita.
Farid.
Begitu mudah lelaki mengungkapkan kata, begitu senang dia melepaskan diri dari kesilapan yang dilakukan. Sungguh kejam, langsung tidak memikirkan perasaan wanita dan dengan seringkas surat itu dia memohon maaf, begitu mudah. Otakku ligat mengingat apa yang telah berlaku antara aku dan Farid, sewaktu aku bermalam di rumahnya. Rupanya tanggapan aku padanya selama ini silap. Aku tidak menyangka sanggup dia mengambil kesempatan ke atas aku. Dia memaksa aku, dengan janji-janji yang sangat manis. Maruahku di robek dengan rakusnya. Aku seakan tiada daya untuk menghalangnya, seolah-olah merelakan apa yang telah berlaku. Kini dia pergi melepaskan diri dari kekejamannya.
Aku tidak lagi seperti dulu, yang bersemangat dalam hidup. Pelajaranku mula terabai, tidak guna lagi untuk ku sesalkan , hidupku seolah-olah sudah hancur. Jiwaku sudah mati, gelodak di jiwa umpama ribut Katrina yang melanda dunia. Aku sudah tidak percaya pada lelaki. Lelaki hanya tahu menindas golongan wanita yang lemah. Hidupku sudah berubah, aku mula menjadi seorang wanita yang pendendam, penuh dengan kebencian, penuh dengan keperitan.
“Tiyaz, kenapa ni, kau sudah tidak seperti dulu, kalau kau ada masalah bagitaulah aku, mungkin aku boleh tolong.” Aku tak nak lihat kau berterusan macam ni, seolah-olah kau tidak punya kehidupan lagi.” “ Mana Tiyaz yang aku kenal dulu? Safi melontarkan kata-kata tidak puas hati terhadap aku, yang sering bermenung dan tidak lagi bersemanagt untuk hidup. “ Ya, aku sudah tidak ada kehidupan lagi, masa depan aku sudah hancur! hancur! aku bukan seperti dulu lagi.” Safi tersentak, kerana selama dia mengenali aku, tidak pernah aku meninggikan suara apabila bercakap dengannya.
Aku mula mencipta dunia kedua, aku mula menjadi seorang perempuan yang seolah-olah tidak mempunyai maruah diri. Aku senang menerima ajakan lelaki, niatku untuk membalas dendam terhadap kaum lelaki yang telah menghancurkan aku. Hidup aku terumbang-ambing tanpa hala tuju. Aku melangkah dengan mengikut kata hati aku yang penuh dendam, dendam pada lelaki.
Aku diibaratkan seperti manusia yang hanya bijak pada luaran tetapi bodoh dalam perhitungan kehidupan. Aku terus hanyut dalam arus dendam yang mengalir dengan derasnya. Aku merasakan kehidupanku sudah tidak bermakna lagi. Aku seolah-olah tidak dapat menerima takdir yang menimpa diriku. Hatiku makin goyah tanpa pegangan yang kuat.
Hanya Safi yang tidak berputus asa menasihatiku. Aku tidak sanggup untuk menceritakan apa yang sebenarnya berlaku diantara aku dan sepupunya. Biarlah ianya menjadi rahsia hidupku. Aku tidak sesekali menyalahkannya, kerana aku tau dia seorang yang jujur dalam persahabatan. Aku yang terlalu percaya pada lelaki sehingga aku terdampar di pulau derita.
Hari terus berlalu, jam terus berjalan, masa terus berlari meninggalkan aku jauh di belakang. Aku meneruskan rutin aku sebagai pelajar seperti biasa, walaupun aku sudah tidak bersemangat seperti dulu dan sering ponteng kuliah. Sehinggalah suatu hari aku di panggil oleh pensyarah, kerana keputusan aku semakin menurun dan sering tidak menghadirkan diri ke kuliah. Aku disogok dengan pelbagai pertanyaan. Pensyarah tersebut juga mencadangkan aku untuk berjumpa dengan kaunselor. Masalah yang aku hadapi hanya aku yang tahu , tidak mungkin akan ada yang dapat menyembuhkan penyakit barah jiwa yang aku hidapi.
Setahun kemudian, dengan izin Allah, aku telah bertemu dengan seorang insan yang dapat merawat luka di hati, dialah insan pertama yang menghadiahkan aku sebuah al-quran serta menyedarkanku tidak semua lelaki jahat. “ Tiyaz, masih ada peluang untuk awak memperbaiki diri, bukan menghancurkan lagi diri, sedarlah masih ada lagi insan yang dapat menerima awak.” “ Hanya awak yang mampu memberi ruang kepada diri awak sendiri.” Ahmad Ilham wafi, lelaki yang sehebat namanya, lelaki yang juga sedar akan perubahanku, sahabat aku sejak di bangku sekolah. “ Tapi saya sudah tidak seperti dulu Am, hidup saya sudah hancur, masa depan saya sudah musnah.” Aku tunduk menahan sebak. Dia terus berkata-kata “ Siapa yang cakap, Allah Maha pengampun, Allah Maha penyayang, masih ada lagi sinar yang menanti di hadapan.”
Aku bersyukur ke hadrat Ilahi, kini aku sudah berjaya mendapatkan ijazah pertama, dengan kepujian. Insyaallah bulan hadapan aku dan Ahmad Ilham Wafi akan di satukan. Semoga Allah mengurniakan kebahagiaan kepada kami, memberi aku sinar baru dalam melayari kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu. Jihad jiwa membawa aku pulang kejalanNya. Aku yakin dengan ketentuan Ilahi, setiap apa yang diturunkan pasti ada hikmahnya. Allah berfirman di dalam surah Al-anfaal, ayat 11, ‘ (ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripadaNya, dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan syaitan dan untuk menguatkan hatimu dan memperteguh dengannya telapak kaki(mu).
No comments:
Post a Comment